Monday, June 13, 2011

ULUM AL-QURAN

PENDAHULUAN

Pengajian yang berkaitan dengan Ulum Al-Quran merupakan salah satu bidang yang penting untuk membolehkan seseorang itu memahami dan menghuraikan atau mentafsirkan apa yang terdapat dalam Al-Quran itu sendiri dengan baik dan sempurna.

Walaupun secara pasti dan secara secara tersusun pengajian dan penulisan serta pembukuan tentang Ulum Al-Quran baru disusun pada abad ke 3 Hijrah, namun sebenarnya ia telah bermula secara tidak langsung semenjak zaman Nabi, sahabat dan tabi’in. Cuma apa yang berlaku pada zaman tersebut, perbahasan tentang Ulum Al-Quran masih belum teratur dan berselerak.

Di kalangan sahabat yang alim dan terkenal dalam bidang Tafsir dan Ulum Al-Quran ialah :

1. Khulafa’ al-Rasyidin
2. Ibn Abbas
3. Ibn Mas’ud
4. Ubai Ibn Ka’ab
5. Zaid Ibn Thabit
6. Abu Musa al-‘Asy’ari
7. Abdullah Ibn al-Zubir

Di kalangan Tabi’in yang alim dan terkenal dalam bidang Tafsir dan Ulum Al-Quran ialah :

1. Qatadah
2. ‘Ata’ Ibn Yasar
3. Mujahid
4. Sa’id bin Jubair
5. Hasan al-Basri
6. Zaid bin Aslam


PENGERTIAN ULUM AL-QURAN

Pengertian Bahasa :

Pengertian Ulum Al-Quran menurut bahasa dan menurut makna idafi ialah :

• Perkataan Ulum adalah dalam lafaz jamak daripada perkataan ‘Ilm ( ( علم. Ia boleh ditakrifkan sebagai kefahaman muktamad yang menepati fakta sebenar. Sementara pengertian al-Quran pula ditakrifkan sebagai kalam Allah yang mu’jiz ( معجز ) yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W, ditulis pada mashaf, yang disampaikan secara mutawatir dan membacanya merupakan suatu ibadat.
• Ulum Al-Quran adalah segala ilmu yang berkaitan dengan al-Quran.

Pengertian Istilah :

Ulum Al-Quran menurut pengertian istilah telah diberikan dengan berbagai pengertian, antaranya ialah :

• Ulum Al-Quran ialah ilmu yang membahaskan tentang al-Quran, sama ada dari aspek penurunannya, bacaannya, sejarah pengumpulannya, penyusunannya, penulisan dan pentafsiran, i’jaz, nasikh mansukh, sebab-sebab turun ayat, i’rab serta gharib al-Quran.
• Menurut definisi yang diberikan oleh al-Zarqani, Ulum Al-Quran ialah ilmu-ilmu yang mempelajari tentang al-Quran itu sendiri, sama ada dari segi penurunannya, pengumpulannya, pembacaannya, pentafsirannya, i’jaznya, nasikh mansukhnya dan semua perkara yang berkaitan dengan al-Quran.
• Menurut definisi yang diberikan imam al-Suyuty pula, Ulum Al-Quran ialah suatu bidang dan ruang lingkup ilmu yang membicarakan tentang al-Quran dari segi penurunannya, sanadnya, adabnya, maknanya, lafaznya dan lain-lain yang berkaitan dengannya.

Sebagai rumusannya, ungkapan Ulum Al-Quran membawa makna kefahaman sebenar berhubung denga al-Quran, yang meliputi Asbab al-Nuzul, Ayat Makkiah dan Madaniah, al-Nasikh dan Mansukh, cara bacaan, pengumpulan, penulisan dan berbagai aspek yang berkaitan dengan al-Quran.


TAHAP PERKEMBANGAN ULUM AL-QURAN

Dalam usaha untuk menjelaskan tentang pertumbuhan dan perkembangan Ulum Al-Quran, maka pada umumnya hal tersebut dapatlah ditinjau dalam tiga tahap, dengan menilai tahap yang dilalui oleh ilmu ini, iaitu :

1. Tahap Pertama : iaitu Tahap sebelum dituliskan dalam bentuk buku.

Rasulullah dan para sahabat merupakan orang dan golongan yan paling arif dan faham tentang isi kandungan al-Quran dan ilmu-ilmu yang bersangkutan dengannya. Walaupun begitu, kearifan dan kefahaman meraka terhadap al-Quran belum ditulis dan belum dikumpulkan dalam bentuk buku. Hal itu disebabkan mereka waktu itu tidak perlu dan tidak terdesak untuk berbuat demikian.

Pada masa sahabat tidak perlunya kepada pembukuan Ulum al-Quran jelas apabila kita teliti dan tinjau di mana Nabi orang pertama yang menerima wahyu daripada Allah. Antara lain, Allah sendiri yang melimpahkan rahmat-Nya kepada Nabi dengan cara mengumpulkan al-Quran di dalam dada Nabi, dan Baginda telah membacanya secara rahsia dan pengertian al-Quran.

Manakala para sahabat pula merupakan golongan yang terdiri daripada kalangan Arab Tulin. Justeru itu mereka dapat memahami ayat-ayat al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah. Seandainya timbul sebarang masalah dalam mamahami sesuatu ayat, mereka akan menemui Rasulullah dan meminta penjelasan tentang perkara itu. Selain dari itu, ada para sahabat yang tidak pandai menulis dan alat tulis pada masa itu berkurangan, ini merupakan salah satu faktor dan halangan untuk menulis dan membukukan ilmu tersebut. Konteks lain juga, ditambah dengan larangan Nabi kepada sahabat daripada menulis apa-apa yang Baginda sampaikan kepada mereka selain daripada al-Quran. Hal itu, kerana Baginda bimbang bercampur aduknya al-Quran dengan perkara lain.

Dengan itu dapatlah dirumuskan bahawa ilmu-ilmu mengenai al-Quran telah sedia ada dan tumbuh secara kukuh pada awal Islam. Berdasarkan faktor-faktor di atas, maka ilmu tersebut disampaikan secara lisan sahaja.

2. Tahap Kedua : Tahap persediaan kearah penulisan bentuk buku

Pada zaman Saidana Uthman, mula berlaku percampuran di antara orang Arab dengan bangsa-bangsa lain. Keadaan tersebut menimbulkan kebimbangan akan terhakis keistimewaan keAraban bangsa Arab dan pada msa yang sama juga telah timbul perselisihan dalam membaca al-Quran. Oleh sebab itu, khalifah Uthman telah memerintahkan supaya al-Quran disalin di dalam satu mashaf yang rasmi. Tindakan Uthman itu telah dianggap meletakkan batu kepada satu ilmu yang dikenali sebagai Rasm al-Quran atau ilmu Rasm al-Uthmani.

Kemudiannya, Saidina Ali telah memerintahkan Abu Aswad al-Du’ali supaya mencipta beberapa kaedah nahu Bahasa Arab bagi memelihara keselamatan Bahasa Arab. Oleh itu juga bolehlah dikatakan dan dianggap bahawa Saidina Ali adalah orang pertama yang meletakkan asas bagi ilmu I’rab al-Quran.

Seterusnya pula, terdapat sejumlah para sahabat dan Tabi’in telah meletakkan asas bagi bidang ilmu Tafsir, Ilmu Asbab al-Nuzul, Ilmu al-Nasakh dan Mansukh, Ilmu Gharib al-Quran dan bidang-bidang lain yang bernaung di bawah Ulum Al-Quran. Diantara tokoh tersebut ialah keempat-empat khalifah al-Rasyidin, Ibn Abbas, Ibn Mas’ud, Mujahid, ‘Ikrimah dan al-Hasan al-Basri. Oleh itu, tempoh ini dianggap sebagai tahap persediaan kea rah pembukuan bidang Al-Quran.

3. Tahap Ketiga : Tahap penulisan dalam bentuk buku.

Pada kurun kedua Hijrah telah muncul sebagai kitab dalam berbagai bidang dalam kajian Ulum al-Quran. Bidang kajian pertama ialah ilmu Tafsir, kerana ia dianggap sebagai ibu kepada ilmu-ilmu yang ada hubungan dengan al-Quran.

Diantara kalangan penulis Tafsir yang terawal ialah Syu’bah al-Hajjaj (m. 160H), Sufian Ibn ‘Uyainah (m. 197H) dan Waki’ al-Jarrah (m. 197H). cara tafsiran meraka pula ialah dengan mengumpulkan segal pendapat para sahabat dan tabi’in. Kemudian muncul seorang ahli Tafsir yang terkenal iaitu Ibn Jarir al-Tabari yang telah menghasilkan sebuah kitab Tafsir yang cukup terkenal hingga hari ini. Penulisan dalam bidang Tafsir terus mendapat perhatian dari kalangan ulama hingga kini. Bidang-bidang lain yang berhubung dengan al-Quran, selain Tafsir juga dikarang secara berperingkat-peringkat.

Pada kurun ke-3 Hijrah, Ali Ibn al-Madini telah mengarang kitab Asbab al-Nuzul, Abu ‘Ubaid al-Qasim Ibn Salam (m.224H) telah menulis mengenai al-Nasakh dan al-Mansukh. Kemudian muncul penulis yang berkaitan khusus dengan Ulum al-Quran iaitu Ali Ibn Ibrahim Ibnu Said al-Khaufi (m. 439H) dengan kitabnya al-Burhan Fi Ulum al-Quran, Tahir al-Jazairi dengan kitab al-Tibyan Fi Ulum al-Quran dan Subhi al-Saleh dengan kitabnya Mahahith Fi Ulum al-Quran.

PENULISAN ULUM AL-QURAN DAN TOKOH ULAMA

Sebelum ini telah dibincangkan secar umum tahap perkembangan Ulum al-Quran yang juga secara tidak langsung menyentuh tentang penulisannya. Di sini akan dibincangkan secara khusus dan teperinci berkaitan dengan Sejarah Pertumbuhan, Penulisan dan Perkembangan Ulum al-Quran serta tokoh ulama yang memberi sumbangan terhadap perkembangan Ulum al-Quran. Perkembangan tersebut dapat dibahagikan kepada beberapa peringkat dan zaman sebagaimana berikut iaitu :

Abad satu dan dua

Semasa hayat Rasulullah, Abu Bakar dan Umar, Ulum Al-Quran belum disusun dan ditulis lagi, kerana waktu itu tidak timbul banyak masalah. Pada masa itu uamt Islam dapat merujuk terus kepada Rasulullah dan sentiasa mendampingi Baginda serta al-Quran dalam bahasa mereka.

Pada masa pemerintahan Saidina Uthman, berlaku perselisihan bacaan, menyebabkan beliau mengambil inisiatif supaya al-Quran ditulis dalam satu mashaf dengan bentuk tulisan yang dikenali dengan Mashaf Rasm Uthmani dan dihantar ke wilayah-wilayah Islam.

Pada masa pemerintahan Saidina Ali, semakin ramai orang bukan berbangsa Arab memeluk Islam. Disebabkan mereka tidak tahu tentang ‘Irab ( اعراب), nahu dan bahasa Arab, tambahan pula al-Quran belum mempunyai baris, titik dan tanda bacaan menyebabkan berlaku kesilapan bacaan. Justeru itu, Khalifah Ali memerintahkan Abu al-Aswad al-Du’ali menyusun kaedah bahasa Arab. Oleh itu, lahirlah Ilmu Nahu dan Ilmu ‘Irab al-Quran.

Sebagai rumusannya, pada abad 1 dan 2 Hijrah muncul Ilmu Tafsir, Ilmu Sebab Nuzul, Makki Madani juga Nasikh dan Mansukh. Antara ulama Ulum al-Quran yang muncul pada abad 1 dan 2 :

a. Tokoh Abad Pertama

Diantara tokoh Ulum al-Quran abad pertama ialah :
i. Kalangan sahabat ialah Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Mas’ud, Zaid bin Abdullah bin al-Zubair.
ii. Kalangan Tabi’in ialah Mujahid, Qatadah, ‘Ikrimah dan Hasan al-Basri.
iii. Kalangan Tabi’ al Tabi’in ialah Imam Malik bin Anas.

b. Tokoh Abad Kedua

Diantara tokoh abad kedua yang menyusun kitab Tafsir ialah :
i. Syu’bah bin al-Hajjaj
ii. Sufian bin ‘Uyainah
iii. Waki’ bin al-Jarrah

Abad tiga dan empat

Pada abad ini ilmu Tafsir yang dirintis sebelumnya telah dikembangkan, maka terbentuklah ilmu-ilmu al-Quran yang lain.

a. Tokoh Abad Ketiga

Pada abad ketiga, diantara ulama yang menyusun ilmu Tafsir dan ilmu al-Quran lain adalah :
i. Abu ‘Ubaid al-Qasim bin Salam telah menyusun ilmu Nasikh dan Mansukh serta ilmu Qiraat.
ii. Ali al-Madani telah menyusun ilmu Sebab Nuzul.
iii. Muhammad bin Ayub al-Dirris telah menyusun ilmu Makkiah dan Madaniah.


b. Tokoh Abad Keempat

Pada abad keempat pula, lahir ulama yang menyusun kitab Ulum al-Quran dan Gharib al-Quran. Antaranya :
i. Abu Bakar al-Sijistani menyusun ilmu Gharib al-Quran.
ii. Muhammad Ali al-Adwafi menyusun kitab al-Istighna’ Fi Ulum Al-Quran
(الاءستغناء في علوم القرءان)

Abad lima dan enam

Mengikut sejarah, pada abad kelima inilah Ulum al-Quran mula berkembang dan tersebar dengan pesat. Orang yang paling berjasa dan bertanggungjawab menyebarkan ilmu tersebut ialah Ali bin Ibrahim bin Said al-Khaufi yang Berjaya menyusun kitab tentang I’rab al-Quran dan kitab al-Burhan Fi Ulum al-Quran (البرهان في علوم القرءان).

a. Tokoh Abad Kelima

Antara tokoh abad kelima yang menyusun kitab Ulum al-Quran ialah :
i. Abu ‘Amr al-Dani. Beliau telah menyusun kitab tentang ilmu Qiraat, iaitu kitab yang diberi nama al-Taisir Fi al-Qiraat al-Sab’i التيسير في القراءة السبعي)) dan kitab al-Muhkam Fi al-Nuqat (المحكم في النقات).

b. Tokoh Abad Keenam

Pada abad keenam pula lahir tokoh ulama yang mengembangkan Ulum al-Quran lain, iaitu yang berkaitan dengan ilmu Mubham al-Quran علم مبهم القرءان)), antaranya adalah :
i. Abu al-Qasim Abdul Rahman al-Suhaili yang menyusun kitab Mubham al-Quran
مبهم القرءان)).
ii. Ibn al-Jauzi yang menulis kitab Funun al-Afnan Fi Ulum al-Quran
(فنون الأفنان في علوم القرءان).

Abad tujuh dan lapan

Abad ini ilmu al-Quran terus berkembang hingga membangkitkan usaha menyusun ilmu Majaz al-Quran (علم مجاز القرءان) oleh ulama terkenal.

a. Tokoh Abad Ketujuh

Tokoh ulama abad ketujuh yang mengembangkan serta menyusun ilmu Majaz al-Quran ialah :
i. Ibn Abd. Al-Salam yang menyusun kitab ‘Ilm Majaz al-Quran ( علم مجاز القرءان ).
ii. Abu Syamah yang berjaya menyusun kitab al-Mursyid al-Wajiz Fi ma Yata’llaq Bi al-Quran المرشد الوجيز فيما يتعلق بالقرءان ))

b. Tokoh Abad Kelapan

Tokoh Ulama abad kelapan pula menyusun ilmu-ilmu lain tentang al-Quran, seperti Ilmu Badi’ dan Balaghah. Antara mereka ialah:
i. Ibn Abi al-Isba’ yang menyusun kitab tentang ilmu Badi’ dan keindahan bahasa al-Quran.
ii. Ibn al-Qayyim yang menyusun ilmu tentang sumpah yang terdapat dalam al-Quran.
iii. Abu Hasan al-Mawardi berjaya menyusun ilmu tentang perumpamaan dan bandingan yang terdapat dalam al-Quran.

Abad kesembilan dan kesepuluh

Pada abad ini Ulum al-Quran terus maju dan mencapai kemuncak perkembangan serta kesempurnaan. Hal tersebut kerana kelahiran ramai tokoh baru dan ekoran usaha-usaha yang dilakukan oleh ulama sebelumnya.

a. Tokoh Abad Kesembilan

Antara ualam terkemukakan abad kesembilan yang Berjaya menyusun kitab Ulum al-Quran dengan lengkap antaranya ialah:
i. Jalaluddin al-Bulqini yang menyusun kitab Mawaqi’ al-Ulum Min Mawaqi’al-Nujum (مواقع العلوم من مواقع)
ii. Muhammad bin Sulaiman al-Kafiyaji yang menyusun kitab al-Taysir Fi Qawa’id al-Tafsir (التيسير في قواعد التفسير)

b. Tokoh Abad Kesepuluh

Manakala tokoh ulama Ulum al-Quran abad kesepuluh pula terkenal dan memberi sumbangan besar antaranya ialah:
i. Imam al-Suyuthi yang menyusun kitab al-Takhbir Fi Ulum al-Tafsir (التخبير في علوم التفسير) dan kitab al-Itqan Fi Ulum al-Quran (الإتقان في علوم القرءان).

Setelah kematian Imam al-Suyuthi pada tahun 911 Hijrah, penyusunan, penulisan dan perkembangan Ulum al-Quran menjadi malap dan terhenti hingga abad ke-13 Hijrah. Dimana dalam jarak tiga abad tersebut, ulama lebih banyak menumpukan kepada penyebaran Ulum al-Quran yang telah disusun oleh ulama sebelumnya.

Abad Keempat Belas

Pada abad ke-14 Hijrah telah bangkit dan muncul semula ulama dan tokoh-tokoh yang menyusun berbagai-bagai kitab tentang Ulum al-Quran meliputi berbagai-bagai bidang dan aspek dengan lengkap, antara mereka ialah:

a. Jamaluddin al-Qasimi yang menyusun kitab Mahasin al-Ta’wil (محاسن التأويل)
b. Tahir al-Jazairi berjaya menyusun kitab al-Tibyan Fi Ulum al-Quran (التبيا في علوم القرءان)
c. Muhammad ‘Abd al-‘Azim al-Zarqani yang menyusun kitab Manahil al-‘Irfan Fi ‘Ulum al-Quran (مناهل العرفان في علوم القرءان)
d. Muhammad Shadiq al-Rafi’i yang menyusun kitab I’jaz al-Quran (إعجاز القرءان)

BIDANG DAN SKOP PERBAHASAN ULUM AL-QURAN

Adapun perbahasan yang berkaitan dengan Ulum al-Quran secara umumnya dengan meliputi bidang-bidang berikut iaitu :

1. Ilmu Tafsir dan Ta’wil
2. Ilmu I’rab al-Quran
3. Ilmu Qira’at
4. Ilmu Nasakh dan Mansukh
5. Ilmu Sebab Nuzul
6. Ilmu Makki dan Madani
7. Ilmu Fada’il al-Quran
8. Ilmu Nuzul al-Quran
9. Ilmu Gharib al-Quran
10. Ilmu Amthal al-Quran
11. Ilmu Majaz al-Quran
12. Ilmu Abat Muhkamat dan Mutasyabihat
13. Ilmu Jadal al-Quran
14. Ilmu Aqsam al-Quran


FAEDAH MEMPELAJARI ULUM AL-QURAN

Mempelajari serta memahami Ulum al-Quran memberi faedah yang besar kepada individu dan masyarakat, antaranya :
1. Dapat menguasai berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan yang terdapat dalam al-Quran.
2. Dapat menambahkan keyakinan kepada pengkaji al-Quran bahawa ia merupakan sebuah kitab suci daripada Allah dan bukannya ciptaan manusia.
3. Dapat mengetahui sejarah dan perkembangan al-Quran semenjak ia diturunkan sampai sekarang, di mana jalan penyampaiannya adalah adalah secara mutawatir.
4. Dapat membantu pengkaji untuk memahami kandungan al-Quran serta mengeluarkan hukum daripadanya.
5. Dapat mempelajari ilmu serta Nasikh dan Mansukh, Asbab al-Nuzul dan perkara yang berkaitan al-Quran.
6. Untuk memahami Kalam Allah atau al-Quran sebagaimana yang diterangkan oleh Rasulullah, para sahabat dan tabi’in.
7. Untuk mengetahui metod ahli Tafsir mentafsir al-Quran.
8. Mengetahui keistimewaan ahli Tafsir dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran.
9. Dapat mentafsir al-Quran dengan baik.

No comments:

Post a Comment