Saturday, April 2, 2011

ADAB IMAM DAN MAKMUM

Definisi Imam dan Jama’ah.

Imam adalah seorang pemimpin. Beliau adalah individu yang di lantik sebagai pemimpin bagi memimpin jemaah ketika melakukan ibadah solat atau amal kebaikan. Mereka juga yang akan diberikan kepercayaan menjadi pemimpin untuk memimpin ke jalan yang benar.
Orang yang layak menjadi Imam ialah orang yang baik bacaan al-Qur’annya dan tiada keraguan dalam bacaan. Serta orang itu juga mestilah berpengetahuan luas tentang agama. Dan lebih awal berhijrah yang bermaksud lebih berumur, dan berpengetahuan yang lebih mendalam tentang agama islam.
Definisi Jama’ah.
Sebahagian ulama mengatakan hukum berjemaah fardu ain manakala sebahagian yang lain pula mengatakan fardu kifayah. Disamping itu ada sesetengahnya pula berpendapat sunat muakkad dan inilah pendapat Imam Syafi’I r.a yang bermaksud “ Solat berjemaah itu lebih Afdal (bagus) daripada solat berseorangan dengan kadar 27 darjah (pangkat).
Hubungan yang terhasil daripada solat anatara Imam dan makmum. Dan islam juga mensyariatkan beberapa upacara dan perhimpunan antara umat islam untuk menunaikan ibadah pada masa-masa tertentu. Contohnya solat 5 waktu, solat jumaat dan solat dua hari raya.
Solat berjemaah memerlukan sekurang-kurangnya seorang imam dan seorang makmum. Dan bagi solat jumaat berjemaah hukumnya adalah fardu ain bagi orang lelaki (haram ditinggalkan dan berdosa besar). Solat beramai-ramai adalah lebih afdal daripada solat dengan jemaah yang sedikit. Hadis riwayat Rasullullah s.a.w yang bermaksud daripada Ubay bin Kaab katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w : “solat seorang lelaki beserta seorang lelaki adalah lebih baik daripada ia solat seorang diri dan seorang lelaki beserta 2 orang lelaki lebih banyak ganjarannya daripada ia bersolat bersama-sama dengan seorang lelaki sahaja. Manakala lebih banyak jemaah lebih dikasihi Allah s.w.t. (riwayat Ahmad,Abu Daud dan al-Nasa’i).
Masih mendapat pahala berjemaah bila makmum dapat mengikut imam sebelum imam memberi salam. Akan tetapi makmum yang mengikuti dari mula-mula mendapat ganjaran lebih banyak daripada makmum yang mengikut kemudian.
Imam hendaklah meringkaskan solat kecuali kalu makmumnya hanya terdiri daripada golongan yang sedikit bilangannya dan mereka reda.
Hukum solat berjemaah.
• fardhu kifayah bagi solat 5 waktu.
• Wajib bagi solat jumaat.
• Sebahagian ulama mengatakan fardhu ain .
• Imam Syafi’I, Hanafi dan Maliki berpendapat berjemaah ketika solat fardhu adalah sunat muakkad bagi semua orang lelaki yang berakal dan mampu melakukan tanpa sebarang kesulitan.
• Tidak wajib ke atas orang perempuan, kanak-kanak orang sakit dan sebagainya.
• Bagi lelaki lebih afdal berjemaah di masjid.
• Bagi perempuan lebih baik di rumah sahaja.

Syarat-syarat solat berjemaah.

1. Makmum hendaklah berniat mengikut imam.
2. Makmum perlu mengikut pekerjaan imam dan tidak boleh mendahului imam.
3. Melakukan segala perbuatan imam.
4. Makmum janganlah terlambat sampai 2 rukun fi’li daripada imam.
5. Tempat solat makmum tidak boleh terkehadapan daripada imam.
6. Hendaklah sama solat dengan imam.



Adab dan tugas imam sebelum solat.

1. Imam hendaklah dalam keadaan bersuci.
2. Imam hendaklah datang ke masjid setelah azan dikumandangkan.
3. Imam hendaklah segera memulakan solat apabila berjemaah telah ramai. Jika jemaah tidak ramai, imam hendaklah menunggu seketika.
4. Imam hendaklah mempunyai keikhlasan yang sempurna terhadap para makmumnya.
5. Imam hendaklah melihat kiri dan kanan saf untuk memastikan kesempurnaan sebelum mengangkat takbir. Jika makmumnya seorang sahaja,imam hendaklah menyuruh makmum itu berdiri di sebelah kanan imam.
6. Dilarang seseorang menjadi imam jika di belakangnya ada orang yang lebih pandai dan utama kecuali orang berkenaan itu menolak. Jika berlaku demikian, maka bolehlah dia maju menjadi imam dan (dengan syarat) dia mengetahui syarat-syarat imam ada pada dirinya, ketika itu makruh menolaknya.
7. Hendaklah imam menjaga waktu solat dan solat pada awal waktu bagi mendapat keredaan Allah s.w.t kerana kelebihan solat pada awal waktu seperti kelebihan akhirat atas dunia.

Adab imam ketika solat

 Hendaklah mengeraskan sedikit suara ketika membaca takbiratulihram supaya makmum dapat mengetahui bahawa imam telah memulakan solat.
 Imam hendaklah diam seketika setelah membaca takbiratulihram sebelum membaca al-Fatihah. Ini bertujuan untuk memberi masa kepada makmum ntuk memulakan solatnya sebelum imam membaca al-Fatihah di samping membaca doa iftitah.
 Imam hendaklah mensirkan(memperlahankan) bacaan ta’awuz iaitu bacaan( auzu billah).
 Imam hendaklah menjaharkan bacaan al-Fatihah, ta’min dan surah pada rakaat pertama dan kedua dalam solat jahar dan mensirkan pada solat sir.
 Imam hendaklah memanjangkan surah pada rakaat pertama dan memendekkan surah pada rakaat kedua.
 Imam hendaklah melaksanakan rukun solat itu dengan tenang dan tertib, supaya makmum dapat melaksanakan solat dengan sempurna.
 Imam hendaklah berusaha seboleh yang mungkin untuk meneladani cara Rasulullah mengimami para sahabatnya dalam solat. Antaranya ialah memerhati para jemaah, agar dia dapat mengetahui kadar bacaan surah yang akan dibacanya dalam solat itu.
 Janganlah imam merosakkan sendi-sendi utama dalam solat, seperti meninggalkan tamakninah, perkara yang sunat dalam solat kerana hendak mengejar masa.
 Imam hendaklah menunggu jemaah berdiri terlebih dahulu sebelum membaca al-fatihah pada rakaat selanjutnya.
 Imam hendaklah berdiri seketika (sekurang-kurangnya sekadar bernafas dalam satu nafas) selepas membaca al-Fatihah dan selepas membaca surah.


Adab imam selepas solat.

Imam hendaklah menghadap kiblat sekadar membaca 3 kali istighfar dan sekadar membaca zikir yang dituntut membacanya sebelum merubah letak kakinya. Jika tidak terus keluar, imam hendaklah berpaling ke arah makmum dengan menghadap pipi kanannya atau pipi kirinya dan tetap menghadap ke arah makmum sekadar lama menanti jemaah wanita keluar. Setelah itu, imam hendaklah bangun dan mengerjakan solat sunat di tempat lain.


Adab makmum sebelum solat
1. Sebelum solat dilakukan,makmum hendaklah membaca tasbih,tahmid dan istighfar sebanyak sepuluh kali.
2. Kemudian membaca doa berikut:
رَبِّ أَعُوْذُبِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِيْنَ وَأَعُوْذُبِكَ رَبِّيْ أَنْ يَحْضُرُوْنَ.
“Wahai tuhanku, aku berlindung kepada-Mu dari godaan syaitan dan aku berlindung kepada-Mu wahai Tuhanku dari kehadiran syaitan-syaitan itu!”

3. Makmum hendaklah berdiri setelah bilal atau muazdzin mengucapkan:
قَدْ قَّامَتِّ الصَّلاَةُ قَدْ قَّامَتِ الصَّلاَةُ.
4. Makmum hendaklah berdiri dengan tenang dan apabila telah berdiri hendaklah membaca:
اللَّهُمَّ ءَتِنِي أَفْضَلَ مَايُؤْتِى عِبَادَكَ الصَّالِحِيْنَ.
“Wahai Tuhanku, limpahkanlah kepadaku seutama-utama yang Engkau limpahkan kepada para hamba-Mu yang soleh-soleh.”

5. Makmum hendaklah memenuhi saf hadapan dahulu sebelum membuat saf yang berikutnya. Saf yang baru hendaklah dimulakan dari tengah.





Adab makmum dalam solat

1. Makmum hendaklah membaca takbiratul ihram setelah nyata bahawa imam telah selesai mengucapkan takbirnya.
2. Makmum hendaklah mendengar segala bacaan imam yang dijaharkan dan para makmum hendaklah membaca al-Fatihah di dalam hatinya mengiringi bacaan al-Fatihah imam.
3. Makmum hendaklah membaca amin bersama-sama imam dan jangan mendahului imam.

4. Makmum hendaklah mengerjakan rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud dan berdiri untuk melakukan solat rakaat berikutnya setelah imam sempurna mengerjakannya atau sesudah imam selesai membaca takbir intiwalnya.
5. Hendaklah makmum menyuarakan takbir intiqal dengan perlahan.
6. Makmum hendaklah memberi peringatan kepada imam jika imam terlupa ayat atau surah yang hendak dibacanya mengikut cara-cara yang dibenarkan oleh syarak.


Adab makmum selepas solat

1. Makmum dikehendaki untuk duduk seketika dan membaca zikir, tasbih dan tahmid.
2. Janganlah makmum berdiri sebelum imam bangkit dari duduknya. Hal ini telah ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabda baginda yang bermaksud:
“Bahawasanya aku ini adalah imam kamu kerana itulah jangan kamu mendahului aku melakukan rukuk, sujud, berdiri dan berpaling. Kerana sesungguhnya aku melihat kamu dari hadapan dan dari belakangku, kemudian Rasulullah bersabda: “Demi tuhan yang jiwaku di tangan-Nya, sekiranya kamu melihat apa yang aku lihat tentulah kamu sedikit tertawa dan banyak menangis!”

Susunan saf dari barisan hadapan
Sekiranya jemaah itu terdiri daripada beberapa kumpulan, maka saf itu hendaklah diatur seperti:-
1. Imam
2. Makmum lebih dewasa.
3. Kanak-kanak lelaki.
4. Kanak-kanak perempuan.
5. Perempuan dewasa.
Susunan makmum

 Apabila seorang imam bersembahyang dengan seorang makmum, makmum berada dibelakang imam sebelah kanan.
 Apabila datang seorang makmum yang lain, makmum tersebut hendaklah berada di sebelah kiri imam. Imam perlu ke hadapan dan makmum merapatkan saf.
 Kedudukan kanak-kanak yang belum baligh ketika tiada orang dewasa, maka kedudukannya sama seperti orang dewasa.
 Jama’ah perempuan yang bersolat di belakang lelaki, maka perempuan itu hendaklah berada di belakang jama’ah dan ke kiri sedikit.
 Makruh bagi lelaki berada di belakang saf perempuan. Dan makruh juga perempuan berada di sebelah kiri dan kanan imam.
 Jika seorang makmum sahaja, makruh baginya apabila ia berada di belakang sebelah kiri imam.
 Makruh juga apabila semua makmum berada di sebelah kiri dan di sebelah kanan sahaja.
 Apabila seorang makmum perempuan sahaja, maka perempuan itu perlu berada di sebelah kiri sedikit di belakang imam.


Diriwayatkan sebuah hadis daripada Rasullullah SAW mafhumnya:
“ Rasullullah SAW mengatur saf lelaki di depan saf kanak-kanak dan saf perempuan di belakang saf kanak-kanak”. (Riwayat Muslim).


Kelebihan berjemaah.
 Pahala solat Jama’ah - 27 kali ganda berbanding solat berseorangan.
 Setiap langkah untuk pergi berjama’ah akan mendapat kebaikan dan kenaikan darjat.
 Merupakan cahaya orang Islam pada Hari Akhirat.
sabda Rasulullah S.A.W bermaksud:
“Gembirakanlah orang yang berjalan di dalam gelap menuju ke masjid dengan cahaya yang sempurna pada Hari Akhirat”

 Selain solat Jumaat, yang paling dituntut ialah Subuh, diikuti Isyak dan Asar berdasarkan Hadis berikut.
 Solat Asar sangat dituntut berjama’ah kerana ia adalah solat al-Wusta (pertengahan).
Daripada Uthman bin Affan r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda dengan maksud:
“sesiapa yang sembahyang Isyak berjama’ah, seolah-olah dia telah bangun bersembahyang separuh malam, dan siapa yang sembahyang subuh berjama’ah, seolah-olah dia telah bangun bersembahyang pada keseluruhan malam”
 Hikmah solat berjemaah

 Mewujudkan rasa kemesraan, berkenal-kenalan, kerjasama antara umat Islam.
 Melatih diri supaya berdisiplin dan cintakan ketaatan kepada perkara-perkara yang makruf.
 Al-Durr al-Mukhtar berpendapat bahawa dengan solat berjama’ah dapat mewujudkan rasa persahabatan dan orang yang jahil tentang agama boleh belajar dengan orang yang alim.

3 comments:

  1. saya ingin bertanya, bagaimanakah kedudukan yang betul sekiranya saya, seorang ibu mengimamkan dua anak saya, seorang perempuan 13 tahun dan seoragn lelaki 12 tahun..sekian terima kasih..

    ReplyDelete
    Replies
    1. anak lelaki yg belum baligh...brada di belakang ibunya...bermakna ibu(imam)anak laki(barisan kedua)anak perempuan(barisan ketiga)

      Delete
  2. Di antara ahli Feqah dgn ahli taranum, mana lebih afdal menjadi imam.....

    ReplyDelete