Saturday, April 2, 2011

ADAB IMAM DAN MAKMUM

Definisi Imam dan Jama’ah.

Imam adalah seorang pemimpin. Beliau adalah individu yang di lantik sebagai pemimpin bagi memimpin jemaah ketika melakukan ibadah solat atau amal kebaikan. Mereka juga yang akan diberikan kepercayaan menjadi pemimpin untuk memimpin ke jalan yang benar.
Orang yang layak menjadi Imam ialah orang yang baik bacaan al-Qur’annya dan tiada keraguan dalam bacaan. Serta orang itu juga mestilah berpengetahuan luas tentang agama. Dan lebih awal berhijrah yang bermaksud lebih berumur, dan berpengetahuan yang lebih mendalam tentang agama islam.
Definisi Jama’ah.
Sebahagian ulama mengatakan hukum berjemaah fardu ain manakala sebahagian yang lain pula mengatakan fardu kifayah. Disamping itu ada sesetengahnya pula berpendapat sunat muakkad dan inilah pendapat Imam Syafi’I r.a yang bermaksud “ Solat berjemaah itu lebih Afdal (bagus) daripada solat berseorangan dengan kadar 27 darjah (pangkat).
Hubungan yang terhasil daripada solat anatara Imam dan makmum. Dan islam juga mensyariatkan beberapa upacara dan perhimpunan antara umat islam untuk menunaikan ibadah pada masa-masa tertentu. Contohnya solat 5 waktu, solat jumaat dan solat dua hari raya.
Solat berjemaah memerlukan sekurang-kurangnya seorang imam dan seorang makmum. Dan bagi solat jumaat berjemaah hukumnya adalah fardu ain bagi orang lelaki (haram ditinggalkan dan berdosa besar). Solat beramai-ramai adalah lebih afdal daripada solat dengan jemaah yang sedikit. Hadis riwayat Rasullullah s.a.w yang bermaksud daripada Ubay bin Kaab katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w : “solat seorang lelaki beserta seorang lelaki adalah lebih baik daripada ia solat seorang diri dan seorang lelaki beserta 2 orang lelaki lebih banyak ganjarannya daripada ia bersolat bersama-sama dengan seorang lelaki sahaja. Manakala lebih banyak jemaah lebih dikasihi Allah s.w.t. (riwayat Ahmad,Abu Daud dan al-Nasa’i).
Masih mendapat pahala berjemaah bila makmum dapat mengikut imam sebelum imam memberi salam. Akan tetapi makmum yang mengikuti dari mula-mula mendapat ganjaran lebih banyak daripada makmum yang mengikut kemudian.
Imam hendaklah meringkaskan solat kecuali kalu makmumnya hanya terdiri daripada golongan yang sedikit bilangannya dan mereka reda.
Hukum solat berjemaah.
• fardhu kifayah bagi solat 5 waktu.
• Wajib bagi solat jumaat.
• Sebahagian ulama mengatakan fardhu ain .
• Imam Syafi’I, Hanafi dan Maliki berpendapat berjemaah ketika solat fardhu adalah sunat muakkad bagi semua orang lelaki yang berakal dan mampu melakukan tanpa sebarang kesulitan.
• Tidak wajib ke atas orang perempuan, kanak-kanak orang sakit dan sebagainya.
• Bagi lelaki lebih afdal berjemaah di masjid.
• Bagi perempuan lebih baik di rumah sahaja.

Syarat-syarat solat berjemaah.

1. Makmum hendaklah berniat mengikut imam.
2. Makmum perlu mengikut pekerjaan imam dan tidak boleh mendahului imam.
3. Melakukan segala perbuatan imam.
4. Makmum janganlah terlambat sampai 2 rukun fi’li daripada imam.
5. Tempat solat makmum tidak boleh terkehadapan daripada imam.
6. Hendaklah sama solat dengan imam.



Adab dan tugas imam sebelum solat.

1. Imam hendaklah dalam keadaan bersuci.
2. Imam hendaklah datang ke masjid setelah azan dikumandangkan.
3. Imam hendaklah segera memulakan solat apabila berjemaah telah ramai. Jika jemaah tidak ramai, imam hendaklah menunggu seketika.
4. Imam hendaklah mempunyai keikhlasan yang sempurna terhadap para makmumnya.
5. Imam hendaklah melihat kiri dan kanan saf untuk memastikan kesempurnaan sebelum mengangkat takbir. Jika makmumnya seorang sahaja,imam hendaklah menyuruh makmum itu berdiri di sebelah kanan imam.
6. Dilarang seseorang menjadi imam jika di belakangnya ada orang yang lebih pandai dan utama kecuali orang berkenaan itu menolak. Jika berlaku demikian, maka bolehlah dia maju menjadi imam dan (dengan syarat) dia mengetahui syarat-syarat imam ada pada dirinya, ketika itu makruh menolaknya.
7. Hendaklah imam menjaga waktu solat dan solat pada awal waktu bagi mendapat keredaan Allah s.w.t kerana kelebihan solat pada awal waktu seperti kelebihan akhirat atas dunia.

Adab imam ketika solat

 Hendaklah mengeraskan sedikit suara ketika membaca takbiratulihram supaya makmum dapat mengetahui bahawa imam telah memulakan solat.
 Imam hendaklah diam seketika setelah membaca takbiratulihram sebelum membaca al-Fatihah. Ini bertujuan untuk memberi masa kepada makmum ntuk memulakan solatnya sebelum imam membaca al-Fatihah di samping membaca doa iftitah.
 Imam hendaklah mensirkan(memperlahankan) bacaan ta’awuz iaitu bacaan( auzu billah).
 Imam hendaklah menjaharkan bacaan al-Fatihah, ta’min dan surah pada rakaat pertama dan kedua dalam solat jahar dan mensirkan pada solat sir.
 Imam hendaklah memanjangkan surah pada rakaat pertama dan memendekkan surah pada rakaat kedua.
 Imam hendaklah melaksanakan rukun solat itu dengan tenang dan tertib, supaya makmum dapat melaksanakan solat dengan sempurna.
 Imam hendaklah berusaha seboleh yang mungkin untuk meneladani cara Rasulullah mengimami para sahabatnya dalam solat. Antaranya ialah memerhati para jemaah, agar dia dapat mengetahui kadar bacaan surah yang akan dibacanya dalam solat itu.
 Janganlah imam merosakkan sendi-sendi utama dalam solat, seperti meninggalkan tamakninah, perkara yang sunat dalam solat kerana hendak mengejar masa.
 Imam hendaklah menunggu jemaah berdiri terlebih dahulu sebelum membaca al-fatihah pada rakaat selanjutnya.
 Imam hendaklah berdiri seketika (sekurang-kurangnya sekadar bernafas dalam satu nafas) selepas membaca al-Fatihah dan selepas membaca surah.


Adab imam selepas solat.

Imam hendaklah menghadap kiblat sekadar membaca 3 kali istighfar dan sekadar membaca zikir yang dituntut membacanya sebelum merubah letak kakinya. Jika tidak terus keluar, imam hendaklah berpaling ke arah makmum dengan menghadap pipi kanannya atau pipi kirinya dan tetap menghadap ke arah makmum sekadar lama menanti jemaah wanita keluar. Setelah itu, imam hendaklah bangun dan mengerjakan solat sunat di tempat lain.


Adab makmum sebelum solat
1. Sebelum solat dilakukan,makmum hendaklah membaca tasbih,tahmid dan istighfar sebanyak sepuluh kali.
2. Kemudian membaca doa berikut:
رَبِّ أَعُوْذُبِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِيْنَ وَأَعُوْذُبِكَ رَبِّيْ أَنْ يَحْضُرُوْنَ.
“Wahai tuhanku, aku berlindung kepada-Mu dari godaan syaitan dan aku berlindung kepada-Mu wahai Tuhanku dari kehadiran syaitan-syaitan itu!”

3. Makmum hendaklah berdiri setelah bilal atau muazdzin mengucapkan:
قَدْ قَّامَتِّ الصَّلاَةُ قَدْ قَّامَتِ الصَّلاَةُ.
4. Makmum hendaklah berdiri dengan tenang dan apabila telah berdiri hendaklah membaca:
اللَّهُمَّ ءَتِنِي أَفْضَلَ مَايُؤْتِى عِبَادَكَ الصَّالِحِيْنَ.
“Wahai Tuhanku, limpahkanlah kepadaku seutama-utama yang Engkau limpahkan kepada para hamba-Mu yang soleh-soleh.”

5. Makmum hendaklah memenuhi saf hadapan dahulu sebelum membuat saf yang berikutnya. Saf yang baru hendaklah dimulakan dari tengah.





Adab makmum dalam solat

1. Makmum hendaklah membaca takbiratul ihram setelah nyata bahawa imam telah selesai mengucapkan takbirnya.
2. Makmum hendaklah mendengar segala bacaan imam yang dijaharkan dan para makmum hendaklah membaca al-Fatihah di dalam hatinya mengiringi bacaan al-Fatihah imam.
3. Makmum hendaklah membaca amin bersama-sama imam dan jangan mendahului imam.

4. Makmum hendaklah mengerjakan rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud dan berdiri untuk melakukan solat rakaat berikutnya setelah imam sempurna mengerjakannya atau sesudah imam selesai membaca takbir intiwalnya.
5. Hendaklah makmum menyuarakan takbir intiqal dengan perlahan.
6. Makmum hendaklah memberi peringatan kepada imam jika imam terlupa ayat atau surah yang hendak dibacanya mengikut cara-cara yang dibenarkan oleh syarak.


Adab makmum selepas solat

1. Makmum dikehendaki untuk duduk seketika dan membaca zikir, tasbih dan tahmid.
2. Janganlah makmum berdiri sebelum imam bangkit dari duduknya. Hal ini telah ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabda baginda yang bermaksud:
“Bahawasanya aku ini adalah imam kamu kerana itulah jangan kamu mendahului aku melakukan rukuk, sujud, berdiri dan berpaling. Kerana sesungguhnya aku melihat kamu dari hadapan dan dari belakangku, kemudian Rasulullah bersabda: “Demi tuhan yang jiwaku di tangan-Nya, sekiranya kamu melihat apa yang aku lihat tentulah kamu sedikit tertawa dan banyak menangis!”

Susunan saf dari barisan hadapan
Sekiranya jemaah itu terdiri daripada beberapa kumpulan, maka saf itu hendaklah diatur seperti:-
1. Imam
2. Makmum lebih dewasa.
3. Kanak-kanak lelaki.
4. Kanak-kanak perempuan.
5. Perempuan dewasa.
Susunan makmum

 Apabila seorang imam bersembahyang dengan seorang makmum, makmum berada dibelakang imam sebelah kanan.
 Apabila datang seorang makmum yang lain, makmum tersebut hendaklah berada di sebelah kiri imam. Imam perlu ke hadapan dan makmum merapatkan saf.
 Kedudukan kanak-kanak yang belum baligh ketika tiada orang dewasa, maka kedudukannya sama seperti orang dewasa.
 Jama’ah perempuan yang bersolat di belakang lelaki, maka perempuan itu hendaklah berada di belakang jama’ah dan ke kiri sedikit.
 Makruh bagi lelaki berada di belakang saf perempuan. Dan makruh juga perempuan berada di sebelah kiri dan kanan imam.
 Jika seorang makmum sahaja, makruh baginya apabila ia berada di belakang sebelah kiri imam.
 Makruh juga apabila semua makmum berada di sebelah kiri dan di sebelah kanan sahaja.
 Apabila seorang makmum perempuan sahaja, maka perempuan itu perlu berada di sebelah kiri sedikit di belakang imam.


Diriwayatkan sebuah hadis daripada Rasullullah SAW mafhumnya:
“ Rasullullah SAW mengatur saf lelaki di depan saf kanak-kanak dan saf perempuan di belakang saf kanak-kanak”. (Riwayat Muslim).


Kelebihan berjemaah.
 Pahala solat Jama’ah - 27 kali ganda berbanding solat berseorangan.
 Setiap langkah untuk pergi berjama’ah akan mendapat kebaikan dan kenaikan darjat.
 Merupakan cahaya orang Islam pada Hari Akhirat.
sabda Rasulullah S.A.W bermaksud:
“Gembirakanlah orang yang berjalan di dalam gelap menuju ke masjid dengan cahaya yang sempurna pada Hari Akhirat”

 Selain solat Jumaat, yang paling dituntut ialah Subuh, diikuti Isyak dan Asar berdasarkan Hadis berikut.
 Solat Asar sangat dituntut berjama’ah kerana ia adalah solat al-Wusta (pertengahan).
Daripada Uthman bin Affan r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda dengan maksud:
“sesiapa yang sembahyang Isyak berjama’ah, seolah-olah dia telah bangun bersembahyang separuh malam, dan siapa yang sembahyang subuh berjama’ah, seolah-olah dia telah bangun bersembahyang pada keseluruhan malam”
 Hikmah solat berjemaah

 Mewujudkan rasa kemesraan, berkenal-kenalan, kerjasama antara umat Islam.
 Melatih diri supaya berdisiplin dan cintakan ketaatan kepada perkara-perkara yang makruf.
 Al-Durr al-Mukhtar berpendapat bahawa dengan solat berjama’ah dapat mewujudkan rasa persahabatan dan orang yang jahil tentang agama boleh belajar dengan orang yang alim.

niat

PENDAHULUAN

Sebagai roh, begitulah kedudukan niat dalam sesuatu amalan atau tindakan seseorang. Inilah yang dinyatakan oleh Imam Abu Ishaq al-Shatibi, salah seorang fuqaha' agung mazhab Maliki dalam kitabnya, Al-Muwafaqat. Disebabkan kepentingannya itu, maka niat menjadi syarat bagi penerimaan sesuatu amalan atau ibadah yang dilaksanakan oleh seseorang hamba. Ini sebagaimana dapat dilihat dalam firman Allah s.w.t. yang menggesa hamba-hamba-Nya supaya menyucikan dan mengikhlaskan niat dalam menyembah serta beribadah kepada-Nya (Surah al-Bayyinah, ayat 5).

Malah dalam Hadith daripada `Umar r.a. yang berkaitan dengan hijrah, persoalan niat turut ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w., "Sesungguhnya setiap amal disertai niat dan sesungguhnya bagi setiap insan apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu ialah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya itu untuk harta dunia yang hendak diperolehnya ataupun untuk seorang wanita yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya kepada sesuatu yang dimaksudkan dalam hijrahnya itu." (Muttafaq `Alaih)


KONSEP NIAT

  • Menurut bahasa Arab, niat didefinisikan sebagai suara atau getaran hati terhadap sesuatu yang dihadapi sesuai dengan keinginan mendapat keuntungan atau menghindar kerugian
  • Menurut ilmu syar’i, niat didefinisikan sebagai keinginan untuk melakukan amal perbuatan kerana mengharap redha Allah.

Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus[1595], dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian Itulah agama yang lurus.(al-Bayyinah : 5)

[1595] Lurus berarti jauh dari syirik (mempersekutukan Allah) dan jauh dari kesesatan.

ASPEK NIAT

Aspek niat itu ada 3 :

1. Diyakini dalam hati.

2. Diucapkan dengan lisan (tidak perlu keras sehingga dapat mengganggu orang lain atau bahkan menjadi ijma.)

3. Dilakukan dengan amal perbuatan.

Jadi niat akan lebih kuat bila ke tiga aspek diatas dilakukan semuanya, sebagai contoh berniat untuk solat, hatinya berniat untuk solat, lisannya mengucapkan niat untuk solat dan tubuhnya melakukan amal solat. Demikian pula apabila kita mengimani segala sesuatu itu haruslah dengan hati yang yakin, ucapan dan tindakan yang berterusan.

Niat baiknya seorang muslim itu tentu saja akan keluar dari hati yang khusyuk dan tawadhu’, ucapan yang baik dan santun, serta tindakan yang difikirkan masak-masak dan tidak tergesa-gesa. Karana dikatakan dalam suatu hadis Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:

“Apabila yang diucapkan lain dengan yang diperbuat termasuk ciri-ciri orang yang munafik”

DALIL-DALIL IKHLAS DALAM NIAT

Pengertian Ikhlas

Dari segi bahasa : Bersih atau suci

Dari segi Istilah : Niat tulus murni kerana Allah dalam melakukan amalan dan pekerjaan

Ciri Sifat Ikhlas

  • Ada prinsip dan matlamat jelas iaitu keredaan Allah
  • Jadikan setiap pekerjaan sebagai ibadat
  • Baiki mutu kerja dari semasa ke semasa
  • Gigih kejar cita-cita dan tabah hadapi ujian
  • Merendah diri
  • Guna kelebihan untuk berkhidmat kepada orang ramai
  • Ingat Allah dalam aktiviti yang dilakukan

Kelebihan Orang yang Bersifat Ikhlas

  • Sentiasa bertaqwa
  • Amalan diterima Allah
  • Balasan berlipat ganda
  • Ketenangan jiwa

Akibat tidak ikhlas

  • Dalam perbuatan

- Dipandang hina masyarakat

- Tiada kesungguhan dan ketekunan

- Lahir budaya negative

  • Dalam ibadat

- Tidak diterima Allah

- Rosak dan tidak diberikan pahala

- Syirik khafi

Perkara yang Boleh Merosakkan Amalan dan Pahala

  • Mengungkit-ungkit kebaikan untuk harapkan balasan
  • Menyakiti orang lain
  • Riya: Menunjuk kebaikan untuk mendapat pujian orang ramai
  • Tidak beriman dengan Allah dan akhirat

Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud :

“Sesungguhnya setiap amal itu tergantung pada niatnya…”

· Terdapat sebuah kisah mengenai sebuku roti sebagai penebus dosa yang menceritakan tentang niat seorang insan yang tekun beribadah.

Abu Burdah bin Musa Al-Asya’ari meriwayatkan, bahawa ketika menjelang wafatnya Abu Musa pernah berkata kepada puteranya : “Wahai anakku, ingatlah kamu akan cerita tentang seseorang yang mempunyai sebuku roti.

Dahulu kala di sebuah tempat ada seorang lelaki yang sangat tekun beribadah kepada Allah. Ibadah yang dilakukannya itu selama lebih kurang 70 tahun. Tempat ibadahnya tidak penah ditinggalkannya, kecuali pada hari-hari yang telah ditentukan. Akan tetapi pada suatu hari, dia digoda oleh seorang wanita sehingga diapun tergoda dengan pujuk rayunya dan bergelumang di dalam dosa selama 7 hari sebagaimana perkara yang dilakukan oleh pasangan suami isteri.

Setelah ia sedar, maka ia lalu berniat untuk bertaubat, sedangkan tempat ibadahnya itu ditinggalkannya, kemudian ia berniat dan melangkahkan kakinya pergi mengembara sambil disertai dengan mengerjakan solat dan sujud.

Akhirnya dalam pengembaraannya itu ia sampai ke sebuah pondok yang dimana dalamnya sudah terdapat 12 orang fakir miskin, sedangkan lelaki itu juga bermaksud untuk menumpang bermalam disana, kerana sudah sangat letih dari sebuah perjalanan yang sangat jauh, sehingga akhirnya dia tertidur bersama dengan lelaki fakir miskin dalam pondok itu.

Rupanya disamping pondok itu ada sebuah kedai yang terdapat seorang pendita yang setiap malamnya selalu mengirimkan beberapa buku roti kepada fakir miskin yang menginap di pondok itu dengan masing-masingnya mendapat sebuku roti setiap seorang. Pada waktu yang lain, datang pula orang lain yang membagi-bagikan roti kepada setiap fakir miskin yang berada di dalam pondok tersebut, begitu juga dengan lelaki yang sedang bertaubat kepada Allah itu juga mendapat bahagian, kerana disangka sebagai orang miskin.

Rupanya salah seorang di antara orang miskin itu ada yang tidak mendapat bahagian dari orang yang membahagikan roti tersebut, sehingga orang fakir miskin itu berkata kepada orang yang membahagikan roti tersebut “ Mengapa kamu tidak memberikan roti itu kepadaku”.

Orang yang membahagikan roti tersebut menjawab “ Kamu dapat melihat sendiri, roti yang aku bagikan semuanya telah habis, dan aku tidak membahagikan kepada mereka lebih dari sebuku roti”.

Mendengar ungkapan dari orang yang membahagikan roti tersebut, maka lelaki yang sedang bertaubat itu lalu mengambil roti yang telah diberikan kepadanya dan memberikan kepada orang fakir miskin yang tidak mendapat bahagian tadi. Sedangkan keesokan harinya, orang yang bertaubat itu meninggal dunia.

Di hadapan Allah, maka ditimbanglah amal ibadah yang pernah dilakukan oleh orang bertaubat itu selama lebih kurang 70 tahun dengan dosa yang dilakukan selama 7 malam. Ternyata hasil dari timbangan tersebut, amal ibadat yang dilakukan lebih kurang 70 tahun itu dikalahkan oleh kemaksiatan yang dilakukan selama 7 malam. Akan tetapi ketika dosa yang dilakukan selama 7 malam itu ditimbang dengan sebuku roti yang pernah diberikanya kepada fakir miskin yang sangat memerlukannya, ternyata amal sebuku roti tersebut dapat mengalahkan perbuatan dosanya selama 7 malam itu.

Kepada anaknya Abu Musa berkata : “Wahai anakku, ingatlah olehmu akan orang yang memiliki sebuku roti tersebut”

Kesimpulannya seperti sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah tidak memandang rupa dan kekayaanmu, tetapi Allah sangat memperhatikan hati & perbuatanmu”

BENTENGI IMAN DENGAN LIMA KEKUATAN

Daripada Imam Syafie berkata:

“Iman mempunyai bentengnya bagi menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya. Oleh itu, bagi menguatkan benteng iman, perlulah di bajai keimanan dengan perkara iaitu yakin, ikhlas, mengerjakan amalan sunat, istiqamah, bertatasusila ataupun berdisiplin di dalam mengerjakan ibadah.”

LIMA BENTENG KEKUATAN

Sebutir biji benih yang kita semai, kita harapkan ia tumbuh dan membesar dan berbuah, mestilah dipagari bagi mengawalnya daripada serangan musuh. Tanpa pagar yang kukuh dan sempurna, musuh-musuh tanaman akan merosakkan biji benih yang di semai itu. Kita pula tidak akan memperoleh hasilnya lagi. Pada waktu itu janganlah disalahkan musuh-musuh itu, tetapi salahkan diri sendiri yang tidak menjalankan tugas mengawal tunas yang tumbuh. Begitulah ibaratnya yang dapat difahami bahawa iman itu selepas di usahakan mencari dan menyuburkannya, wajib pula mengawalnya daripada serangan musuh-musuh yang merosakkan iman. Tanpa pagar atau benteng yang kukuh, pasti iman terancam oleh musuhnya iaitu nafsu dan syaitan. Antara benteng iman itu adalah:

1. Yakin

2. Ikhlas

3. Mengerjakan amalan sunat

4. Istiqamah beramal

5. Betatasusila dan berdisiplin dalam mengerjakan ibadah.

KEPENTINGAN NIAT

Hadith daripada `Umar r.a. yang berkaitan dengan hijrah, persoalan niat turut ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w., "Sesungguhnya setiap amal disertai niat dan sesungguhnya bagi setiap insan apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu ialah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya itu untuk harta dunia yang hendak diperolehnya ataupun untuk seorang wanita yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya kepada sesuatu yang dimaksudkan dalam hijrahnya itu." (Muttafaq `Alaih)

Dalam peristiwa Hijrah yang berlaku pada bulan September 622 M. itu, terdapat salah seorang sahabat yang turut menyertainya semata-mata kerana keinginannya untuk mengahwini seorang wanita, iaitu Ummu Qais. Baginda s.a.w. mengetahui maksud lelaki berkenaan (yang kemudian digelar "Muhajir Ummi Qais") lalu memberikan peringatan sebagaimana yang jelas dalam Hadith ini.

Teguran dan peringatan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. ini disebabkan suasana yang menyelubungi Baginda dan sahabat-sahabat ketika itu. Pada saat-saat yang genting itu, Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabat yang lain menyandarkan tujuan penghijrahan mereka dari kampung halaman yang tercinta ke Madinah, kota yang terletak kira-kira 280 batu (320 km) ke utara Makkah itu semata-mata hanya kerana Allah s.w.t. Dengan kata-kata lain, penghijrahan bagi kepentingan, penyebaran dan kedaulatan agama Islam.

Oleh sebab niatnya itu, tiadalah yang diperoleh oleh lelaki berkenaan kecuali apa yang dihajatinya. Berbeza pula dengan sahabat-sahabat lain, yang sanggup menempuh segala kesulitan dengan penuh ketulusan hati demi menyelamatkan i`tiqad mereka yang suci, bagi mereka, pahala serta ganjaran yang besar. Ini kerana, hijrah yang disempurnakan oleh mereka semata-mata demi mengharapkan keredaan Allah serta Rasul-Nya.

Berasaskan Hadith yang menekankan kedudukan penting niat inilah juga `ulama' usul fiqh membentuk salah satu kaedah fiqh asas, "Setiap urusan (perkara) bergantung pada niatnya". Kaedah fiqh ini memberikan maksud bahawa hukum sesuatu perkara, iaitu perkataan atau perbuatan ditentukan berdasarkan niat atau maksud individu yang melaksanakannya.

PERKARA YANG MEROSAKKAN NIAT

Antara perkara yang meragukan atau merosakkan niat :

1. Keinginan berhenti dari suatu amalan.

2. Ingin melakukan semula amalan-amalan yang buruk akibat pengaruh luar iaitu dalam istilah psikologi ialah ekstrinsik ( keadaan sekeliling yang mendorong kita untuk melakukan sesuatu). Maka kita haruslah memegang teguh pada ajaran Islam supaya diri tidak mudah terpedaya.

3. Muncul keraguan terhadap suatu amalan

Ø Justeru perlu sentiasa memperbaharui niat.

Dalam kehidupan kita hari ini, niat kelihatannya tidaklah begitu dipentingkan dan yang lebih diutamakan hanyalah matlamat atau hasil daripada usaha yang dilaksanakan. Sedangkan pada hakikatnya yang diterima dan dinilai di sisi Allah ialah apa yang diniatkan dalam hati. Maka dengan demikian, kita dapat melihat betapa sebahagian kita sanggup melakukan apa sahaja meskipun melanggar batasan syarak, demi memperoleh keuntungan duniawi. Misalnya, pemerolehan sumber pendapatan atau kekayaan tidak dihadkan hanya semata-mata melalui cara yang digariskan oleh syarak dan diredai Allah s.w.t. Begitu juga dengan pangkat atau kedudukan, kuasa, pengaruh dan sebagainya. Apa jua cara yang membolehkan ia diraih, akan diusahakan sehabis daya, walaupun melalui penipuan, penindasan, kezaliman dan penganiayaan terhadap orang lain. Malah, tanpa segan-silu diisytiharkan pula bahawa segala usaha yang penuh kesungguhan itu hanya dengan tujuan serta niat yang besar; demi agama, bangsa dan negara. Sedangkan jauh di sudut hati, diketahui tujuan dan matlamat sebenar yang dicita-citakan, iaitu semata-mata demi kepentingan diri, kemasyhuran atau untuk meraih pujian.

Disebabkan niat buruk itu menjadi paksi bagi segala tindakan kita, maka tidaklah menghairankan sekiranya kita dapat melihat bagaimana kesan atau akibatnya juga sedemikian sifatnya. Sebagai contoh, jika sumber pendapatan datangnya melalui usaha berasaskan niat yang terpesong daripada landasan kebenaran, maka ia akan menyebabkan hilangnya keberkatan pada rezeki yang diperoleh. Kehilangan keberkatan ini pula seterusnya akan menyebabkan jiwa diselubungi sifat-sifat keji dan akhirnya ia mempengaruhi pula keperibadian dan tingkah laku.

Terdapat juga keadaan, iaitu niat atau matlamat dipergunakan pula bagi menghalalkan cara atau kaedah yang digunakan untuk mencapai sesuatu. Misalnya seseorang mengatakan bahawa pembabitannya dalam pekerjaan yang tidak halal atau yang diragui kedudukannya disebabkan percampuran antara unsur halal dengan haram, adalah semata-mata dengan niat yang suci, iaitu bagi menyara keluarga. Atau juga seseorang menggunakan wang daripada hasil rompakan untuk menunaikan ibadah haji atau juga bagi menunaikan tujuan mulia yang lain dengan niatnya melaksanakan kewajipan terhadap Allah s.w.t. Jelas di sini bahawa niat tersebut tidak sama sekali dapat menghalalkan cara atau kaedah yang digunakan bagi melaksanakan tujuan berkenaan dan inilah yang dapat dilihat dalam kaedah shar`iyyah yang menetapkan "matlamat tidak menghalalkan cara".

Tidak dinafikan bahawa wujud sebilangan anggota masyarakat yang benar-benar tulus dalam usaha dan perjuangan mereka. Apa yang menjadi sandaran harapan mereka ialah keredaan Allah s.w.t. dan kejayaan dalam memakmurkan kehidupan masyarakat serta ummah. Malah, mereka berasa bimbang sekiranya nikmat yang dikecapi merosakkan diri serta mencemarkan niat atau keikhlasan mereka dalam berusaha. Selain itu, perjuangan kumpulan kecil insan seperti ini juga menghasilkan kesan yang berbeza dengan apa yang dikecapi oleh golongan yang mendasarkan usaha mereka atas niat serta matlamat yang tertumpu pada kepentingan diri atau untuk mendapatkan kemasyhuran atau pula demi keuntungan duniawi semata-mata. Usaha mereka yang ikhlas itu dilimpahi keberkatan, misalnya melalui kemajuan perniagaan serta pelaburan yang dijalankan dan sentiasa memperoleh jalan keluar bagi setiap kesulitan yang ditempuh. Selain itu, kegigihan mereka demi membawa kesejahteraan dalam kehidupan masyarakat, pasti dipermudah, sesuai dengan niat dan matlamat yang diharapkan. Ternyata, kejayaan dan lebih penting lagi, kelangsungan usaha serta perjuangan mereka ini hanyalah disebabkan asasnya yang teguh lagi utuh, iaitu ketulusan niat dan kesucian matlamat yang disasarkan.

KESIMPULANNYA

Kesimpulannya, sesuai dengan kedudukan niat sebagai salah satu daripada tiga bahagian Islam, sebagaimana dikatakan oleh Imam Shafi`e dan imam-imam yang lain, maka ia perlulah diberikan perhatian yang sebaik-baiknya dalam setiap amal, perbuatan dan tindakan yang dilaksanakan. Ini penting bagi memastikan setiap usaha dan amalan yang dilaksanakan bukanlah dengan sia-sia sahaja, yakni tidak dinilai di sisi Allah serta hanya menepati apa yang diingini atau diniatkan sahaja.

Begitu besarnya peranan niat turut dapat dilihat dalam sebuah lagi Hadith, khususnya apabila ia digandingkan dengan jihad. "Tiada lagi hijrah sesudah pembebasan (Makkah) tetapi yang ada ialah jihad serta niat dan apabila diperintahkan supaya kamu keluar, maka keluarlah." (Muttafaq `Alaih)

Dalam menjelaskan maksud Hadith ini, Imam Nawawi mengatakan, "Keburukan yang tamat dengan terhapusnya hukum hijrah dapat dihasilkan dengan jihad dan niat yang baik. Apabila kamu diperintahkan oleh pemimpin kamu supaya keluar untuk berjihad dan melaksanakan amal yang baik, maka hendaklah kamu keluar."